Motosikal langgar tiang lampu, remaja 13 tahun maut, adik patah kaki

Motosikal langgar tiang lampu, remaja 13 tahun maut, adik patah kaki

Polis berkata, Muhammad Farish Hafiy yang tidak memiliki lesen memandu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Keadaan di lokasi nahas selepas motosikal dinaiki dua beradik hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di Jalan Persiaran Taman Seri Impian, Kluang. (Gambar Facebook Aku Budak Kluang)
PETALING JAYA:
Seorang remaja berusia 13 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tiang lampu di Jalan Persiaran Taman Seri Impian, Kluang, lewat malam tadi.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh berkata, Muhammad Farish Hafiy yang tidak memiliki lesen memandu, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pembonceng yang juga adik mangsa berusia 12 tahun, Muhammad Amin Asyraf patah kaki kanan dan lebam di dahi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dari arah kawasan perumahan Taman Seri Impian menghala lampu isyarat di Jalan Kota Tinggi-Kluang.

“Tiba di tempat kejadian, Honda Wave ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan, lalu melanggar tiang lampu jalan di tengah pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng motosikal parah dan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom,” katanya menurut Harian Metro.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.