
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan daripada suspek pada 9.50 pagi memaklumkan tertembak anak sepupu menggunakan senapang patah buatan sendiri.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Machang ke satu lokasi di belakang Pejabat Perhutanan Bukit Batu Tapong, Machang.
“Kami menemui mayat lelaki berusia 26 tahun dan selaras senapang patah buatan sendiri serta sebiji kelongsong peluru penabur dan empat biji peluru penabur.
“Polis turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 2 pagi apabila suspek berusia 39 tahun itu dikatakan melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa binatang buruan.
“Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan kejadian dengan bantuan orang kampung dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya.
Tambahnya, hasil semakan rekod mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah tahanan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut,” katanya.