Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Arden Mattson Maturin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. (Gambar Pexel)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemain ragbi Sabah yang masih aktif bermain untuk sebuah kelab tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membunuh adik perempuannya minggu lalu.

Arden Mattson Maturin, 26, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berita Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan dan Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Albert Basiri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Arden didakwa membunuh Audrey, 24, antara 3.30 hingga 4.30 petang di rumah Nombor 10, Taman Prestij, Jalan Signall Hill, di Kota Kinabalu pada 4 Mei lalu.

Media melaporkan mangsa ditemui ayahnya kira-kira 4.50 petang hari sama dalam keadaan tertiarap, berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di muka.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.