
Tanpa menyebut nama parti dan gabungan itu, beliau dipercayai merujuk kepada PAS di mana sebelum ini Umno bersama parti itu dalam gabungan Muafakat Nasional (MN).
Zahid membuat jangkaan itu berdasarkan pengalaman Umno bersama PAS dalam MN, apabila ditendang dan rakannya itu memilih bersama PN.
Katanya, nasib sama juga akan berlaku kepada rakan parti lain dalam PN yang bersama PAS.
“Dulu walaupun kita cuba dengan perasaan mahu mewujudkan penyatuan ummah, kita telah cuba atas nama piagam dan Muafakat Nasional (MN), tapi parti itu dengan siapa pun apabila dia bersekongkol…dia akan tendang dan terajang termasuk kita.
“Saya yakin gabungan parti disertai oleh parti itu sekarang ini pun mula berlaku kocakan, saya pikir tak lama gabungan itu akan pecah dan rakan kongsi politik akan juga ditendang sebagaimana dia tendang kita,” katanya ketika ucapan perutusan sempena ulang tahun Umno ke-77, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Zahid berkata, walaupun Umno kini menjalinkan kerjasama baharu menerusi kerajaan perpaduan, parti itu tidak pernah meninggalkan perjuangan asas Umno dengan mengukuhkan kekuatan Melayu dan Islam sebagai teras.
“Walaupun dalam kerajaan sekarang ini, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk kesyumulan Islam berasaskan akar umbi, tunjang kita sebagai orang Melayu.
“Selagi Umno berada di bawah payung besar kerajaan hari ini, perlembagaan negara yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama yang utama akan terus dipelihara tanpa digugat mana-mana pihak,” katanya.