
Ketua Umno Sabah yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, ia kerana sebahagian pemimpin negeri ketika ini pernah bersama parti itu ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Sabah selama 28 tahun sebelum menyertai parti lain.
“Walaupun Umno kini bukan lagi parti tunjang kerajaan negeri Sabah, namun DNA parti itu masih wujud dalam diri pemimpin yang mengetuai kerajaan pimpinan GRS.
“Ketua menteri Sabah ketika ini (Hajiji Noor) ada DNA Umno. Ketua menteri Sabah sebelum ini pun (Shafie Apdal) ada DNA Umno walaupun berlainan parti,” katanya menurut Berita Harian.
Hajiji pernah mengetuai Umno Sabah pada 2018 sebelum menyertai Bersatu dan kini mengetuai Gagasan Rakyat, manakala Shafie adalah bekas naib presiden Umno yang meninggalkan parti itu pada 2016 sebelum menubuhkan Warisan.
Selain itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata perjuangan Umno membela nasib rakyat Sabah tidak terjejas meskipun tidak lagi berada dalam kerajaan negeri.
“Walaupun Umno Sabah ketika ini dianggap seperti parti pembangkang bertentangan arus dengan konsep kerajaan perpaduan, ia tidak menjejaskan perjuangan parti ini untuk membela rakyat.
“Kita mencapai banyak kejayaan walaupun banyak halangan. Selama tempoh 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat yang diperjuangkan Umno dan tiada siapa boleh menafikannya,” katanya.
Bung turut mengakui kewujudan “gunting dalam lipatan” yang menjadi cabaran utama Umno terutama ketika berdepan kemelut politik Sabah sejak Januari lalu.
“Selain adanya usaha pihak tertentu mengekang kemaraan Umno, cabaran yang tidak kelihatan ialah cabaran dalaman dari pemimpin Umno sendiri yang bersikap seperti ‘gunting dalam lipatan’.
“Perkara ini sudah berlaku kerana pemimpin yang berkenaan lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti dan ahli Umno. Atas sebab itulah prinsip perjuangan dan kesetiaan mereka bersama Umno mudah diperkosa,” katanya sambil menegaskan tindakan itu tidak sedikit pun menggugat Umno Sabah.