
Dalam kenyataan, Muda Selangor melahirkan kekecewaan terhadap lanjutan kontrak setahun dengan memetik kontroversi pemilikan saham dihadapi Azam.
Katanya, setahun lalu Muda Selangor dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyertai protes “Tangkap Azam Baki” berhubung kontroversi itu.
“Belum pun reda isu ini, belum pun selesai siasatan ke atas pimpinan PH yang terlibat dalam protes yang diadakan, Azam dikhabarkan dilantik semula ke jawatan ketua pesuruhjaya SPRM bawah kerajaan baharu, kerajaan perpaduan,” katanya.
Muda Selangor berkata, pihaknya juga ingin memahami rasional pelantikan semula Azam ke jawatan itu sambil mempersoalkan adakah pemimpin PH dalam kerajaan hanya mahu berdiam diri.
“Muda Selangor turut memohon penjelasan bagaimana proses pelantikan ke kerusi nombor satu badan pencegah rasuah ini berlangsung dalam kerajaan perpaduan dengan ikrarnya berjanji membanteras rasuah sehabisnya,” katanya.
Pada Januari tahun, lalu kira-kira 500 peserta yang memakai baju serba hitam menyertai protes “Tangkap Azam Baki”, termasuk lebih 35 NGO dan pemimpin muda daripada PKR, DAP, Amanah, Pejuang, Muda dan Warisan.
Semalam, kerajaan mengumumkan tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua SPRM dilanjutkan setahun lagi, berkuat kuasa 12 Mei.
Azam dilantik mengetuai SPRM pada 9 Mac 2020 susulan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan PH.