
Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata Hadi hanya menyatakan pandangan peribadinya mengenai perkara itu.
“Pandangan beliau tentang orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagai ‘penyakau terbesar’ hanya pandangannya sendiri, berdasarkan persepsi dan pengalaman peribadinya.
“(Pandangan Hadi) tidak mewakili pendirian keseluruhan Perikatan Nasional (PN),” kata Lau kepada FMT.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu kepada Hadi untuk faham bagaimana persepsi tersebut mula-mula timbul, dan bagaimana mereka boleh bekerjasama untuk melenyapkannya.
“Dari situ, kita boleh bergerak ke hadapan dan bekerjasama untuk membina keyakinan antara komuniti masing-masing,” katanya.
Lau juga berkata, perkara ini adalah mengenai “menyuarakan perkara yang betul pada masa sesuai”. Sejarah menunjukkan setiap kaum dan komuniti mempunyai individu yang merosakkan, tambahnya.
“Tetapi tindakan segelintir (orang) tidak menggambarkan keseluruhan kaum dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, beberapa segmen masyarakat bukan Melayu terkilan dengan dakwaan Hadi, tetapi Lau percaya rakyat arif dalam memilih kerajaan yang terbaik mewakili kepentingan mereka.
“Prestasi wakil rakyat kita akan menjadi faktor penentu sokongan rakyat,” katanya ketika ditanya sama ada beliau khuatir tentang hala tuju dipilih Hadi dan PAS.
Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa orang ramai membuat laporan polis terhadap Hadi atas dakwaannya berulang kali mengenai golongan bukan Melayu. Menurut Lim, kenyataan sedemikian mengancam perpaduan negara.
Ini susulan dakwaan Hadi di Facebook bahawa orang Melayu “ditipu secara terang-terangan” dan orang bukan Melayu dan bukan Islam adalah golongan terbesar menjadi “penyakau”
Pada Ogos tahun lalu, Hadi juga menyifatkan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca gejala rasuah, dengan berkata mereka golongan “majoriti” perosak politik dan ekonomi negara.