
Pakar perubatan klinikal dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Fadli Zil Ikram Karim memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib mengadu cirit-birit pagi tadi.
“Kami merumuskan beliau masih mempunyai masalah cirit-birit yang aktif. Selepas membuat pemeriksaan, kami dapati beliau berisiko tinggi mengalami masalah kekurangan air dan risiko tekanan darah rendah.
“Dengan itu, beliau tidak sihat untuk hadir perbicaraan hari ini dan selepas berbincang dengan perunding HKL, kami memutuskan memberikan cuti sakit hari ini,” katanya menurut Berita Harian.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan ke 21 Jun ini.
Perbicaraan itu dijadualkan bersambung semalam, tetapi ditangguhkan selepas doktor mengesahkan Najib dirujuk ke HKL kerana mengadu sakit perut semalaman.
Justeru, HKL memberi cuti sakit untuk kelmarin dan semalam kepada Najib.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.