Malaysia-UK tandatangani MoU mantap kerjasama pendidikan

Malaysia-UK tandatangani MoU mantap kerjasama pendidikan

Kementerian Pendidikan Tinggi dan rakan sejawat di UK menandatangani MoU yang merangkumi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan saintifik dan latihan bakat.

Ketua Setiausaha KPT, Abdul Razak Jaafar, dan Setiausaha Tetap Bagi Pendidikan UK, Susan Acland-Hood, berjabat selepas menandatangani MoU memantapkan kerjasama pendidikan Malaysia-UK.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dan rakan sejawat di United Kingdom menandatangani memorandum persefahaman yang akan memantapkan kerjasama institusi pendidikan kedua-dua negara.

MoU Mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi itu antaranya untuk membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar, serta lebih ramai pelajar UK melanjutkan pengajian di Malaysia yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Ketua Setiausaha KPT, Abdul Razak Jaafar, dan Setiausaha Tetap Bagi Pendidikan UK, Susan Acland-Hood menandatangani MoU itu mewakili kerajaan masing-masing, di Jabatan Pendidikan UK, London, semalam.

“Kerjasama pendidikan di peringkat antarabangsa secara tidak langsung akan merangsang institusi pengajian tinggi (IPT) negara untuk terus bersaing dalam penawaran program pengajian yang berkualiti demi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa,” menurut kenyataan KPT.

Antara skop kerjasama yang dicadangkan dalam MoU itu, antara lain, merangkumi pemantapan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan saintifik dan latihan bakat antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Seterusnya, melaksanakan pertukaran kakitangan akademik, guru, pelatih, pakar, dan penuntut antara IPT selepas berunding dengan KPT dan Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK mengenai program yang akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

Ia juga menyediakan platform latihan kepada pentadbir pendidikan dan guru termasuklah yang terlibat dengan latihan dalam perkhidmatan serta penawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh kedua-dua pihak.

Pada masa sama, berusaha ke arah melaksanakan pemindahan kredit dan program yang serupa antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua pihak dan kemungkinan pengiktirafan bersama untuk kelayakan akademik.

Lain daripada itu, melaksanakan program dua hala antara institusi pendidikan tinggi; dan saling membantu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inovasi, pembelajaran dalam talian, pembelajaran sepanjang hayat, dan keusahawanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.