Loh Siew Hong gagal batal pertukaran agama anak kepada Islam

Loh Siew Hong gagal batal pertukaran agama anak kepada Islam

Mahkamah Tinggi berkata tiada bukti menunjukkan ketiga-tiga anaknya berhenti mengamalkan ajaran Islam.

Loh Siew Hong mendakwa anaknya ditukar agama kepada Islam secara sepihak pada 7 Julai 2020.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, untuk membatalkan penukaran agama kepada Islam yang dilakukan secara sepihak oleh bekas suaminya terhadap tiga orang anak mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata tidak ada bukti bahawa ketiga-tiga anak itu berhenti menganut agama Islam.

“Pemohon tidak menafikan dakwaan (oleh bekas suaminya) bahawa ketiga-tiga anak itu terus mengamalkan ajaran agama Islam dengan melakukan solat subuh ketika mereka berada di bawah jagaan,” katanya.

Tiada kos dikenakan.

Wan Farid berkata keinginan anak-anak untuk mengikuti amalan agama Islam, termasuk cita-cita salah satu daripada mereka untuk menjadi peguam syarie, adalah bukti yang mencukupi bahawa mereka adalah orang Islam.

Beliau juga berkata, walaupun Loh tidak bersetuju dengan dakwaan itu (mengikuti ajaran keagamaan), ia tetap menjadi “penafian semata-mata”.

“Walaupun sijil tukar agama tidak dianggap sebagai bukti yang kukuh, mengambil kira sifatnya yang satu pihak, ‘kekuatan bukti’ menunjukkan ketiga-tiga anak itu terus mengikuti ajaran agama Islam,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu tidak bertentangan dengan kes penting Indira Gandhi, seorang ibu Hindu yang terlibat dalam pertikaian hak penjagaan anak antara agama, tetapi “menambah baik interpretasinya” dengan mengambil kira kes-kes berikutnya.

Wan Farid berkata, pada akhirnya, mahkamah memberikan keutamaan kepada kesejahteraan anak-anak kerana tidak ada bukti di hadapan mahkamah bahawa anak-anak itu kembali menganut agama Hindu.

“Tidak ada bukti di hadapan saya bahawa ketiga-tiga anak itu telah kembali kepada agama Hindu.

“Ada satu aspek kes Indira Gandhi yang jarang dibincangkan dalam kes yang dilaporkan seterusnya. Ia berkaitan dengan kesejahteraan anak-anak yang harus diberikan keutamaan,” katanya.

Apabila dihubungi, peguam Loh, A Srimurugan berkata mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.