Kerajaan perlu sedia hala tuju jelas EV untuk tingkat keyakinan

Kerajaan perlu sedia hala tuju jelas EV untuk tingkat keyakinan

Walaupun beberapa insentif dan pengecualian cukai dimasukkan dalam belanjawan persekutuan untuk kenderaan elektrik, pengguna masih teragak-agak beralih daripada kenderaan berkuasa petrol.

Jualan kenderaan elektrik kekal rendah kerana harga masih di tahap premium.
PETALING JAYA:
Pengedar kereta menggesa kerajaan menyediakan hala tuju jelas untuk kenderaan elektrik (EV) bagi meningkatkan keyakinan dalam industri dan mempercepatkan penggunaan teknologi itu.

G-Mart Group, yang anak syarikatnya EVCar.my mengimport dan menjual kenderaan elektrik di dalam negara, berkata Putrajaya memerlukan dasar jelas untuk membuka laluan bagi penggunaan EV di negara ini untuk 20 hingga 30 tahun akan datang.

Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Nicholas Dev Kaneson, berkata insentif semasa untuk EV, seperti pengecualian duti import dan eksais serta cukai jalan, dijangka tamat dalam tempoh beberapa tahun dan akan menyebabkan ketidaktentuan dalam kalangan pengguna.

“Apa akan berlaku jika inisiatif itu tidak diteruskan? Apa akan berlaku jika kerajaan berubah?

“Ketidakstabilan berada dalam fikiran orang ramai yang berfikir, ‘biar saya tunggu hingga keadaan lebih jelas dan stabil sedikit sebelum saya mengeluarkan wang’ (untuk membeli EV),” katanya kepada FMT.

Pelbagai insentif dan pengecualian cukai untuk EV disenaraikan dalam belanjawan persekutuan awal tahun ini berdasarkan matlamat terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya.

Pengecualian duti import dan eksais bagi unit siap dibina (CBU) EV yang diimport sepenuhnya dilanjutkan sehingga 31 Dis 2025.

Pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi EV pemasangan tempatan (CKD) dilanjutkan sehingga 31 Dis 2027, manakala tempoh pengecualian cukai import bagi komponen EV CKD turut dilanjutkan sehingga tempoh itu.

Kini, EV juga dikecualikan daripada cukai jalan sehingga 31 Dis 2025.

Putrajaya juga menyediakan pengecualian cukai pendapatan 100% dari tahun ini hingga 2032 kepada pengeluar peralatan pengecasan EV serta menawarkan elaun cukai pelaburan 100% kepada pengeluar berkenaan selama lima tahun.

Bagaimanapun, jualan EV kekal rendah kerana harga masih di tahap premium.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia, kira-kira 2,631 EV dijual di negara ini tahun lepas berbanding 720,658 kenderaan dilengkapi enjin pembakaran dalaman. EV termurah di Malaysia kini dijual berharga kira-kira RM140,000.

Nicholas berkata, jualan EV akan terus suram berbanding kenderaan petrol, selagi harga petrol serta diesel kekal murah, dan akibatnya, harga EV akan kekal terlalu tinggi.

Katanya, kerajaan tidak mungkin menaikkan harga bahan api untuk meningkatkan jualan EV kerana langkah itu akan mencetuskan kekecohan dalam kalangan orang ramai daripada semua kumpulan pendapatan.

“Harga bahan api adalah topik sangat tidak menyenangkan. Jika ada orang menyentuh harga bahan api, ia akan menjejaskan bahagian paling bawah hinggalah paling atas (kumpulan pendapatan). Akan ada kesan domino, walaupun harga dinaikkan 10 atau 15 sen.”

Sebagai alternatif, katanya, kerajaan boleh mencontohi London dan memperkenalkan “zon pelepasan ultra rendah” di pusat bandar Kuala Lumpur, menghalang kenderaan berkuasa petrol memasuki kawasan itu atau menanggung bayaran tinggi bagi meningkatkan penggunaan EV.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Saravanan Thambirajah, berkata kerajaan perlu mempunyai dasar untuk melindungi pembeli EV, terutamanya berkaitan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.

Katanya, Putrajaya juga perlu “merevolusikan” keadaan pasaran dan melibatkan pengeluar kereta tempatan dalam menghasilkan EV sendiri untuk menurunkan harga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.