
Ketua Polis Langkawi, Shariman Ashari, berkata ibu bapa kanak-kanak itu dan adiknya berusia tiga tahun yang turut bersama abangnya ketika kemalangan, dipanggil membantu siasatan kes berkenaan.
“Pasangan berkenaan selesai menjalani proses rakaman percakapan oleh pegawai penyiasat tengah hari tadi.
“Sejurus itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi pula mengambil keterangan mereka,” katanya menurut Berita Harian.
Shariman berkata, bapa kanak-kanak itu berusia 28 tahun dan bekerja sebagai peniaga kedai runcit, manakala ibunya suri rumah berusia 22 tahun.
Media melaporkan kanak-kanak lelaki itu memandu Toyota Vios sejauh 2.5km milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan.
Kanak-kanak itu yang turut membawa adiknya berusia tiga tahun dikatakan ingin ke kedai berhampiran untuk membeli mainan pada 11.15 malam.
Video kemalangan itu tular tengah malam tadi dengan orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.