Kes maut makan ikan buntal, kertas siasatan dibuka

Kes maut makan ikan buntal, kertas siasatan dibuka

Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata tindakan sewajarnya akan diambil sebaik siasatan itu lengkap.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad, berkata kes keracunan ikan buntal itu dibincangkan bersama Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan Perikanan dan polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung kematian pasangan warga emas yang keracunan akibat memakan hidangan ikan buntal di Kluang baru-baru ini, sudah dibuka atas nasihat timbalan pendakwa raya.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad, berkata tindakan sewajarnya akan diambil sebaik siasatan itu lengkap selain mendapatkan pandangan timbalan pendakwa raya.

Katanya, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan bersama waris berkaitan bagi menjelaskan situasi berhubung perkara itu.

“Kita mengambil maklum akan laporan akhbar pada 7 Mei lalu berkenaan penjualan ikan buntal yang mengakibatkan keracunan dan kematian dua warga emas berbangsa Cina pada Mac lalu di Kluang.

“Kes ini dibincangkan bersama Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan Perikanan dan polis,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Dalam pada itu, beliau juga berkata risikan dan pemantauan penjualan ikan buntal di pasaran masih dilakukan secara berterusan.

“Penjual ikan adalah diingatkan untuk tidak menjual ikan buntal yang tidak dijamin proses pengendaliannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati di dalam memilih makanan terutamanya jika ia berkaitan dengan ikan buntal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, keluarga pasangan warga emas yang maut kerana keracunan akibat makan ikan buntal goreng, Mac lalu kesal apabila mendakwa peniaga ikan berkenaan masih bebas berniaga.

Anak pasangan itu, Ng Ai Lee, 51, menyifatkan tidak adil buat keluarga mereka yang masih meratap kehilangan Lim Siew Guan, 83, dan bapa Eng Kuai Sin @ Ng Chuan Sing, 84, sedangkan pelaku didakwa masih bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.