Hamzah nafi terlibat pemberian projek KDN babit ‘Datuk Seri’

Hamzah nafi terlibat pemberian projek KDN babit ‘Datuk Seri’

Ketua pembangkang berkata lebih janggal keterangannya dirakam berhubung kes itu pada petang tadi oleh SPRM.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, mendakwa namanya sengaja diheret untuk menjatuhkan reputasinya.
PETALING JAYA:
Hamzah Zainudin menafikan terlibat dalam pemberian projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan pendakwaan seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta.

Hamzah berkata, pertuduhan yang mengaitkannya sengaja dibuat untuk mencemar namanya sebagai bekas menteri di kementerian itu.

“Malah pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya. Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung.

“Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk ‘mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri’. Jadi, apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret namanya.

“Ini siri fitnah untuk menekan orang- orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya,” katanya.

Hamzah berkata, lebih janggal apabila beliau hanya dirakam keterangan petang tadi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pertuduhan terhadap Sim Choo Thiam di mahkamah sudah dibuat.

“Lebih janggal apabila saya hanya dirakam keterangan pada petang ini bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Hamzah berkata, pertuduhan untuk mengaitkannya kerana ada pihak bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional (PN) yang akan diterjemah sekali lagi dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi.

“Ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, Bersatu, dan PN. Lebih-lebih lagi timbalan perdana menteri merangkap presiden Umno sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin Bersatu dan PN,” katanya.

Terdahulu, Choo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada KDN.

Choo didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pihak pendakwaan berkata, jumlah itu bertujuan sebagai dorongan kepada Hamzah untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.