Cukai tanah Pahang tak naik hingga 5 tahun, kata MB

Cukai tanah Pahang tak naik hingga 5 tahun, kata MB

Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri mempunyai pelbagai perancangan menambah kutipan hasil.

Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri bagaimanapun perlu berusaha meningkatkan kutipan hasil. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan kerajaan Pahang tidak bercadang menaikkan kadar cukai tanah dalam tempoh lima tahun, walaupun menyasarkan peningkatan kutipan hasil setiap tahun.

Jaminan itu dinyatakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, dengan beliau berkata kerajaan negeri mempunyai pelbagai perancangan menambah kutipan hasil negeri, antaranya menerusi kutipan hasil yang berulang.

“Kita tidak boleh terus berada dalam status quo (dalam kutipan hasil) kerana pelbagai sebab seperti kenaikan gaji, pertambahan jumlah penjawat awam dan kos sara hidup yang menyebabkan kerajaan negeri kena berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil.

“Antara yang boleh dilakukan ialah meningkatkan kutipan hasil berulang seperti kita ada lebih kurang 740,000 hak milik tanah dan jika dapat ditingkatkan hingga satu juta hak milik, hasil tahunan akan meningkat. Begitu juga jika proses tukar syarat dimudah cara, dapat meningkatkan pendapatan kerana ia akan meningkatkan hak milik tanah,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kutipan hasil tanpa meningkatkan cukai tanah.

Terdahulu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri mengutip hasil sebanyak RM1.288 bilion tahun lalu, dengan kutipan terbesar datang daripada hasil tanah dengan jumlah RM754.8 juta diikuti lain-lain hasil seperti duti hiburan dan fi kelestarian (RM284.15 juta), hutan (RM134.18 juta) dan geran persekutuan (RM91 juta).

Bagi kutipan mengikut daerah, Wan Rosdy berkata semua daerah kecuali Cameron Highlands menunjukkan peningkatan tahun lalu berbanding 2021, dengan Kuantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM182.25 juta disusuli Bentong (RM70.68 juta), Rompin (RM63.64 juta), Jerantut (RM55.66 juta) dan Pekan (RM51.28 juta).

Menjawab soalan tambahan Rodzuan Zaaba (BN-Jenderak) berhubung kutipan fi kelestarian yang mula diperkenalkan tahun lalu pada kadar RM3 semalam, Wan Rosdy berkata ia menyumbang RM9 juta kepada kutipan hasil negeri, yang diletakkan bawah kategori lain-lain hasil.

“Fi kelestarian ini ekoran cadangan daripada Yang Dipertua Dewan (Mohd Sharkar Shamsudin) semasa menjadi pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pahang dengan antara tujuan ia digunakan semula untuk pemasaran pelancongan selain dibuat penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan Ketua Pembangkang Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) supaya diskaun diberikan kepada mereka yang mahu dan berkemampuan menyelesaikan bayaran cukai untuk tempoh lama seperti tiga atau lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.