SPRM patut bawah Parlimen, bukan EAIC, kerajaan diberitahu

SPRM patut bawah Parlimen, bukan EAIC, kerajaan diberitahu

CSO Platform for Reform berkata meletakkan agensi anti-rasuah itu bawah bidang kuasa EAIC tidak akan meningkatkan kebebasan atau kuasanya.

Minggu lalu, Azalina Othman Said mendedahkan jawatankuasa pro-tem sedang meneliti untuk meletak SPRM bawah bidang kuasa EAIC.
PETALING JAYA:
Sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa Parlimen, bukannya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

CSO Platform for Reform berkata, meletakkan SPRM bawah EAIC bertentangan semangat reformasi dan ketelusan bawah pentadbiran Anwar Ibrahim memandangkan ketua pesuruhjaya EAIC dilantik perdana menteri.

“SPRM ialah agensi mempunyai kuasa pendakwaan, yang tidak dimiliki agensi lain bawah bidang kuasa EAIC.

“Oleh itu, kami tidak percaya meletakkannya bawah bidang kuasa EAIC akan meningkatkan kebebasan atau kuasanya,” katanya dalam kenyataan.

CSO Platform menegaskan, meletakkan badan anti-rasuah itu bawah Parlimen akan memastikan ia mempunyai akauntabiliti dan ketelusan lebih besar, sejajar aspirasi reformasi Anwar.

Katanya, Anwar turut menyuarakan kesediaan Putrajaya mempertimbangkan pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM bawah bidang kuasa Parlimen pada sesi Parlimen lalu.

“Kami menyeru kerajaan perpaduan menegakkan prinsip reformasinya dengan mengetepikan cadangan ini dan fokus melaksanakan agenda reformasi SPRM.”

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, cadangan meletakkan SPRM bawah bidang kuasa EAIC dibincangkan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pro-tem.

Jawatankuasa itu bermesyuarat untuk membincangkan cadangan Anwar menubuhkan badan baharu bagi menyelia dan menyiasat semua aduan terhadap badan penguatkuasaan undang-undang sambil meneliti cadangan pindaan untuk mengukuhkan EAIC.

Pada 28 Mac lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, lebih baik badan bebas mengambil tindakan menyiasat semua aduan terhadap agensi penguatkuasaan seperti polis, SPRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

Katanya, beliau memahami kebimbangan orang ramai terhadap badan penguatkuasaan menyiasat aduan awam mengenai diri mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.