Pemilik, penyewa gagal isytihar skim keselamatan Bangsar Park tak sah

Pemilik, penyewa gagal isytihar skim keselamatan Bangsar Park tak sah

Mahkamah Rayuan berkata tiada sebab kukuh bagi mahkamah tertinggi itu mengganggu keputusan dibuat mahkamah bawahan.

Mahkamah Persekutuan menolak dakwaan skim keselamatan yang dijalankan oleh Persatuan Penduduk Bangsar Park sebagai satu perniagaan keselamatan haram.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pemilik hartanah dan penyewa untuk mengisytiharkan skim keselamatan kawasan berpagar yang dioperasikan oleh Persatuan Penduduk Bangsar Park sebagai tidak berperlembagaan, tidak sah dan mengganggu.

Dalam keputusan sebulat suara, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata tidak ada sebab yang kukuh bagi mahkamah tertinggi itu untuk mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah bawahan.

Turut bersidang bersama Tengku Maimun adalah Hakim Hasnah Hashim dan Hakim Rhodzariah Bujang.

Panel hakim juga enggan menjawab empat soalan undang-undang yang dikenal pasti untuk dibincangkan ketika kebenaran rayuan dibenarkan pada 24 Nov tahun lalu.

Pemilik hartanah Ranjan Paramalingam dan penyewa Jude Micory Lobijin juga diarah membayar RM70,000 sebagai kos kepada persatuan.

Dalam saman mereka, Ranjan dan Lobijin mendakwa skim itu adalah sumber gangguan awam dan persendirian serta ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Persatuan membina pondok pengawal dan pintu pagar di bawah skim kejiranan berpagar serta mengumpul maklumat individu bukan ahli dan pelawat yang memasuki kawasan tersebut.

Mereka mendakwa skim itu merupakan perniagaan keselamatan haram dan kelulusan diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai tidak sah.

Dalam saman itu turut menyebut, mereka berhak bebas ke mana-mana dalam kawasan kawasan berpagar tanpa sebarang halangan.

Pada Januari 2021, Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut dan memutuskan kelulusan diberikan DBKL kepada persatuan untuk skim itu dibuat berdasarkan garis panduan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan).

Keputusan itu disahkan Mahkamah Rayuan, pada Jun tahun lalu.

Peguam Bastian Vendargon, yang mewakili perayu, hari ini mengemukakan bahawa skim itu tidak sah dan tidak berperlembagaan.

“Hak warganegara untuk bergerak dengan bebas di bawah skim itu sebagai mana dijamin di bawah Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan sedang diganggu,” katanya.

Beliau berkata, skim itu tidak sah kerana tidak berdasarkan undang-undang diluluskan Parlimen.

“Pengawasan komuniti tidak boleh dilakukan tanpa sebarang undang-undang positif yang membenarkan,” kata Vendargon, yang dibantu Anne Vendargon.

Beliau merujuk Rukun Tetangga dan Rela sebagai usaha pengawasan komuniti yang mempunyai kelulusan undang-undang.

Dia berkata Akta Agensi Persendirian 1971 juga melarang pengawal keselamatan yang ditempatkan dalam skim tersebut menggunakan kuasa yang biasanya dikaitkan dengan anggota polis.

“PDPA tidak membenarkan agensi swasta mengumpul data peribadi orang yang memasuki skim tersebut,” tambahnya.

Peguam Fahri Azzat, yang mewakili persatuan, mengemukakan bahawa rayuan tidak sepatutnya diterima kerana tuntutan telah ditolak berdasarkan fakta.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan menolak rayuan plaintif kerana kecacatan dalam permohonan dan kekurangan bukti.

“Plaintif gagal menuntut tindakan dalam halangan – sama ada awam atau persendirian – terhadap defendan,” kata Fahri yang dibantu Iqbal Harith Liang.

Beliau berkata, pembelaan utama defendan adalah ia mempunyai kelulusan pentadbiran daripada DBKL untuk melaksanakan skim tersebut dan plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.