Pejalan kaki cedera, 7 kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

Pejalan kaki cedera, 7 kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

Pemandu kereta itu bagaimanapun terselamat walaupun kenderaannya terbalik selepas kejadian.

Bomba mengeluarkan pemandu kereta Toyota Vios yang terbalik selepas merempuh beberapa kenderaan di Pekan Nanas, Pontian. (Gambar media sosial)
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang tiba-tiba diserang sawan gagal mengawal kereta dipandunya sehingga merempuh tujuh kenderaan dan mengakibatkan seorang pejalan kaki cedera.

Kejadian di Jalan Permata 4, Pekan Nanas, Johor, 7.10 pagi tadi membabitkan lima motosikal dan dua kereta yang diletakkan di bahu jalan berhampiran dua kedai makan.

Ketua Polis Pontian, Mohammad Shofee Tayib, berkata pemandu kereta Toyota Vios, Siti Faraisyah Mahfoz, 25, terselamat dan kenderaannya terbalik.

“Ketika melalui kawasan tersebut, Siti Faraisyah yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya mengalami sawan dan hilang kawalan lalu melanggar seorang pejalan kaki yang dikenali sebagai Zahara sebelum merempuh kenderaan lain.

“Zahara yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan tersebut mengalami kecederaan di bahagian leher dan dihantar ke Hospital Pontian,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Shofee berkata, dua motosikal yang dirempuh itu mengalami kerosakan di seluruh bahagian, manakala yang lain pada bahagian belakang dan sisi kanan, sementara sebuah kereta rosak seluruh bahagian.

Katanya, ketika kejadian semua pemilik kereta dan motosikal terlibat sedang atau selesai menikmati sarapan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pekan Nanas dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan Siti Faraisyah dari dalam kereta yang terbalik dan dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.