Pahang laksana projek tebatan banjir RM501 juta

Pahang laksana projek tebatan banjir RM501 juta

Projek itu melibatkan penaiktarafan sungai, pembinaan struktur cegah banjir, serta pembinaan tambak dan ban, kata MB Wan Rosdy Wan Ismail.

Projek tebatan banjir di Pekan melibatkan RTB Pekan Fasa Dua, iaitu pembinaan tambak (levee) Sungai Pahang dengan status kerja mencapai 69%, menurut menteri besar. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini dengan peruntukan kira-kira RM501 juta, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, bagi daerah Kuantan, projek itu melibatkan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan Pakej Satu, iaitu menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegahan banjir. Projek itu, katanya, kini 99.73% siap.

Was Rosdy berkata, projek itu juga melibatkan PLSB Sungai Kuantan Pakej Tiga, iaitu membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih, serta mempertingkat ban sedia ada di Perkampungan Sungai Isap, yang perkembangannya baru mencapai 3%.

Sementara itu di Pekan, ia melibatkan RTB Pekan Fasa Dua, iaitu pembinaan tambak (levee) Sungai Pahang dengan status kerja mencapai 69%, manakala perkembangan projek RTB Sungai Semantan Temerloh Fasa Satu dalam daerah Temerloh pula sebanyak 8%.

Katanya, PLSB Sungai Jelai di Lipis Fasa Satu dan PLSB Sungai Kuantan Pakej Dua pula kini dalam proses reka bentuk melibatkan kos RM168.7 juta, iaitu bagi membina ban pencegahan banjir di Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangin di sini.

“Selain itu, RTB Tanjung Gahai, Lipis iaitu membina ban tebatan banjir, dalam proses untuk melantik kontraktor,” katanya pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan V Arumugam (BN-Sabai) yang ingin tahu perkembangan projek tebatan banjir di Pahang, khususnya di Bentong.

Bagi daerah Bentong, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran telah membuat permohonan cadangan RTB secara di luar bajet kepada kerajaan persekutuan dengan anggaran kos sebanyak RM410 juta tahun lepas. Hingga kini, katanya, cadangan projek itu masih dalam tindakan.

Ketika menjawab soalan tambahan Arumugam yang ingin tahu projek jangka panjang kerajaan negeri untuk mengatasi banjir, Wan Rosdy memaklumkan pihaknya sentiasa memohon peruntukan bagi menjalankan tindakan sewajarnya.

“Kerajaan negeri mengakui bahawa Pahang sentiasa dilanda banjir dan ini suatu yang kita tak dapat elak,” katanya.

“Sebagai kerajaan negeri yang prihatin, kita telah mohon beberapa peruntukan dan ia merupakan tugas dan tanggungjawab kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.