Michelle sah letak jawatan, ABM lepas Tim Jones serta-merta

Michelle sah letak jawatan, ABM lepas Tim Jones serta-merta

Ini susulan kekalahan skuad wanita negara di tangan Filipina dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kemboja 2023, semalam.

Michelle Chai disahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Akademi Badminton Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Akademi Badminton Malaysia (ABM) mengesahkan menerima peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michelle Chai susulan kekalahan skuad wanita negara di tangan Filipina dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kemboja 2023, semalam.

Perkara ini dimaklumkan menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kenyataan itu turut memaklumkan Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Tim Jones dilepaskan daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

“ABM boleh mengesahkan hari ini dalam mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti ke atas beberapa keputusan yang kurang baik melibatkan pemain Malaysia, Michelle Chai telah menawarkan diri dan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia.

“ABM juga mahu mengumumkan bahawa Timothy John Jones, Pengarah Prestasi Tinggi ABM turut dilepaskan dari tugasannya berkuat kuasa serta-merta,” kata ABM.

Terdahulu, Michelle dalam satu sidang media yang diadakan hari ini memberi bayangan beliau bersedia melepaskan jawatannya susulan kekalahan skuad wanita di tangan Filipina.

Michelle yang memegang jawatan itu sejak Oktober tahun lalu, berkata kekalahan semalam adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.