MAIWP mohon mencelah saman tukar agama sebelah pihak

MAIWP mohon mencelah saman tukar agama sebelah pihak

Permohonan dibuat pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan itu yang kedua selepas difailkan Majlis Peguam Syariah Kuala Lumpur.

Pada 2018, seorang daripada plaintif dalam saman itu, M Indira Gandhi, berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama tiga anak oleh bekas suaminya.
KUALA LUMPUR:
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memfailkan permohonan sebagai pihak pencelah dalam tuntutan 14 plaintif mahu mengisytiharkan undang-undang negeri membenarkan penukaran agama sebelah pihak kanak-kanak bukan Muslim kepada Islam tidak sah.

Rajesh Nagarajan, yang mewakili plaintif, berkata mereka menerima kertas kausa berhubung perkara itu semalam.

MAIWP memfailkan permohonan itu minggu lalu, mohon mencelah memandangkan plaintif turut mencabar kesahihan Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

“Kami akan menentang permohonan untuk mencelah seperti diarahkan anak guam kami,” kata Rajesh kepada FMT.

Terdahulu, Majlis Peguam Syariah Kuala Lumpur turut memohon untuk mencelah dalam tuntutan ini. Plaintif juga menentang permohonan itu.

Rajesh berkata, saman itu, yang sebelum ini difailkan di bahagian sivil Mahkamah Tinggi telah dipindahkan ke bahagian rayuan dan kuasa khas mahkamah.

“Kami diarahkan oleh timbalan pendaftar untuk membuat permohonan pemindahan pada bulan lepas,” katanya sambil menambah perintah itu telah diluluskan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain semasa pengurusan kes semalam.

Rajesh berkata, kedua-dua saman dan permohonan plaintif untuk menyebut lima pegawai Jabatan Agama Islam Kota Tinggi kerana menghina mahkamah telah ditetapkan untuk pengurusan kes, pada 17 Mei.

Permohonan ex parte, yang difailkan pada pertengahan April, mendakwa pegawai itu telah mengganggu Aisyah, seorang daripada plaintif, selepas berita mengenai kes itu diketahui umum pada Mac.

Aisyah membuat laporan polis mendakwa diganggu pegawai berkenaan sejurus kejadian itu, pada 29 Mac.

Terdahulu, pada 3 Mac, plaintif memfailkan permohonan mencabar peruntukan undang-undang di tujuh negeri dan kerajaan persekutuan bagi membatalkan peruntukan membenarkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam tanpa kebenaran ibu dan bapa.

Plaintif termasuk ibu beragama Hindu, M Indira Gandhi yang, pada 29 Jan 2018, berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penukaran agama sebelah pihak tiga anaknya oleh bekas suami, Muhammad Riduan Abdullah.

Kumpulan plaintif termasuk bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam S Mohan dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia.

Turut bersama mereka ialah Arun Dorasamy dari NGO Hindu Agamam Ani. Arun juga merupakan pengerusi pasukan tindakan Indira Gandhi.

Plaintif selebihnya adalah individu bermastautin di Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Johor, dan Kuala Lumpur.

Mereka telah menamakan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Johor dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.

Plaintif memohon pengisytiharan penukaran agama sebelah pihak tidak berperlembagaan dan melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.