
Beliau berkata, keputusan untuk memansuhkan larangan itu dibuat secara bersama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai sebahagian usaha menambah baik dasar negara mengenai ekonomi hijau.
“Keputusan kerajaan membatalkan halangan perdagangan TBB merentas sempadan (sebelum ini) dijangka akan memanfaatkan syarikat-syarikat Malaysia dalam industri TBB,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Larangan eksport TBB dilaksanakan pada Oktober 2021 bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Pada Mei 2022, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin menggesa kerajaan membatalkan larangan eksport TBB ke Singapura. Menurut Yeo, langkah ini akan menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan hijau.
Bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu berkata, Malaysia telah bekerjasama dengan Singapura dalam eksport TBB sejak akhir 2018, sehingga kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
70% bekalan tenaga
Nik Nazmi berkata, TBB akan meliputi 70% daripada penjanaan bekalan elektrik negara menjelang 2050.
Peluasan ini akan membolehkan lebihan TBB dijana, yang akan ditukar dengan negara jiran, tambahnya.
Beliau juga berkata, peningkatan kapasiti boleh baharu dalam sistem bekalan elektrik memerlukan sejumlah RM637 bilion pelaburan sehingga 2050.
“Ini termasuk pelaburan dalam sumber penjanaan boleh baharu, pengukuhan infrastruktur, dan kos operasi untuk rangkaian sistem grid baharu,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, Putrajaya akan memperuntukkan RM50 juta untuk pemasangan panel solar di pelbagai bangunan dan fasiliti kerajaan menjelang akhir tahun ini.