
Malay Mail melaporkan, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata bahawa isteri Amri, Norhayati Ariffin, hanya akan dibenarkan berkongsi laporan itu dengan peguamnya.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya di Kangar pada kira-kira 11.30 malam, 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di tapak pembinaan di Sekolah Sukan Bukit Cabang awal pagi keesokan harinya.
Antara 2017 dan 2019, Suhakam telah menjalankan inkuiri awam mengenai kehilangan Amri.
Pada 2021, Suhakam membuat kesimpulan bahawa Amri mangsa kehilangan paksa tindakan kerajaan, khususnya oleh Cawangan Khas polis.
Sebagai respons, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji kesimpulan Suhakam. Pasukan itu diberi masa enam bulan untuk menyiapkan laporannya.
Sejak itu, KDN dan pasukan petugas tidak mengeluarkan laporan, walaupun berkali-kali digesa berbuat demikian oleh pelbagai pihak, termasuk Suhakam dan NGO lain.
Pada Disember 2021, Norhayati memfailkan permohonan memulakan cabaran undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyahklasifikasi laporan kerajaan mengenai kehilangan suaminya.
Dalam permohonan itu, beliau memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mengetepikan beberapa peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang berkait dengan laporan tersebut.
Norhayati juga mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan kerajaan mengklasifikasikan laporan pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri dan Pastor Raymond Koh sebagai rahsia adalah bercanggah dengan perlembagaan.