Farid Kamil pertimbang berhijrah jika Anwar tak jadi PM

Farid Kamil pertimbang berhijrah jika Anwar tak jadi PM

Pelakon itu membawa watak utama dalam filem ‘Anwar: The Untold Story’ yang akan mula ditayangkan pada 18 Mei.

Anwar Ibrahim disambut oleh orang ramai ketika tiba untuk tayangan perdana filem ‘Anwar: The Untold Story’ malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelakon Farid Kamil yang membawa watak Anwar Ibrahim dalam filem biopik “Anwar: The Untold Story” sebelum ini mempertimbangkan untuk meninggalkan Malaysia, jika Anwar tidak mentadbir negara selepas PRU15.

Bercakap kepada petugas media selepas tayangan perdana filem itu malam tadi, Anwar berkata filem itu, kecuali penyuntingan dan runut bunyinya, telah siap sebelum beliau menjadi perdana menteri.

“Perlu sedar akan hakikat (saya mungkin tidak mentadbir). Sebab itu, saya masih ingat membaca wawancara Farid mengenai kemungkinan saya tidak mengambil alih kepimpinan, (apabila beliau berkata) mungkin akan meninggalkan negara kerana terlalu banyak risiko untuknya.

“Mereka yang berada di koridor mungkin tidak suka, tetapi saya dah ada di sini,” kata Anwar.

Sementara itu, Farid berkata, beliau mengharungi kesukaran ketika penggambaran filem itu bermula.

“Saya terpaksa rahsiakan perjalanan saya ke Indonesia sehingga filem itu siap dan Anwar jadi perdana menteri,” katanya.

“Saya bersyukur dapat pulang (ke Malaysia), kerana ketika saya pergi, saya beritahu isteri, besar kemungkinan kami (sekeluarga) terpaksa pindah ke sana (Indonesia).”

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998, filem itu menggambarkan zaman Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, penentangannya terhadap rasuah dan pemenjaraannya.

Filem ini akan ditayangkan di semua pawagam utama mulai 18 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.