
Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu menyanggah dakwaan perkara itu hal komersial, sebaliknya berkait kedaulatan.
“Kenapa kamu tak bawa ke ICJ? Jika kamu mempersoalkan perkara berkaitan wilayah, maka platform sewajarnya bukanlah timbang tara komersial,” katanya di International Arbitration Colloquium 2023 di ibu negara.
“Cabar kami di ICJ jika kamu dakwa kamu berhak, ada keterangan, peta, dan dokumen. Cabar kami dengan cara itu dan kami akan lawan kamu sehingga selesai.”
Azalina berkata kumpulan Sulu terbabit menggunakan “taktik gerila” untuk mencabul proses timbang tara, dan Malaysia tidak akan berdiam diri.
Putrajaya akan mengambil langkah perlu bagi mempertahankan kedaulatan Malaysia tidak kira kos tindakan undang-undang, tambahnya.
Malaysia menamatkan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris sultan Sulu selepas kumpulan bersenjata mendarat di Lahad Datu pada 2013, bagi menuntut kedaulatan Sabah.
Sebuah firma undang-undang di London, yang mewakili sekumpulan sembilan orang di Filipina, memfailkan beberapa tindakan undang-undang terhadap kerajaan selepas penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, di sebuah mahkamah timbang tara Perancis, memerintahkan Putrajaya membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu terakhir, selepas kononnya Malaysia melanggar perjanjian antara kesultanan lama itu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada 1878.
Malaysia mencabar perintah tersebut di Perancis, yang membawa kepada mahkamah menangguhkan penguatkuasaan sementara menunggu keputusan mahkamah ke atas dakwaan bahawa perintah itu menjejaskan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah.
Cabaran Malaysia di Sepanyol menyaksikan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dibatalkan, awal tahun ini.
Terbaru, kumpulan Sulu itu cuba merampas tiga harta kerajaan di Paris.
Azalina berkata, kumpulan terbabit tidak akan berhenti menuntut maka kerajaan disaran menggubal suatu akta kekebalan, yang melarang mahkamah sesebuah negara menghakimi urusan dalam negeri sesebuah negara lain, serta melarang mahkamah negara lain memaksakan kuasanya atau penguatkuasaan undang-undangnya ke atas kedaulatan sesebuah negara serta harta-hartanya.