
Justeru, tiada keperluan baginya menjelaskan tuduhan pembatalan seperti itu, katanya.
Pengerusi DAP berkenaan berkata, beliau termasuk kementerian pernah diketuainya tidak pernah mengarahkan pembatalan status pengecualian cukai ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, bermula Mei 2018 hingga Februari 2020.
“Tiada sebab plaintif (Lim) untuk menjelaskan sesuatu yang tidak pernah berlaku,” kata Lim menjawab pernyataan pembelaan Muhyiddin Yassin.
Katanya, dalam undang-undang, beban diletakkan kepada Muhyiddin bagi membuktikan beliau atau pihak lain dalam Kementerian Kewangan mengarahkan pembatalan dibuat.
Tambahnya, pada 21 Mac tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, mengesahkan Lim tidak membatalkan status pengecualian cukai yayasan tersebut, sekali gus menepis dakwaan Muhyiddin sebagai tidak benar.
Lim berkata, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan media dua hari kemudian, pada 23 Mac, mengesahkan kenyataan Anwar berhubung perkara itu.
Beliau juga mempersoal kenapa Muhyiddin kekal berdiam diri berhubung dakwaan itu selama 33 bulan, susulan kejatuhan kerajaan PH, pada Februari 2020.
“Ini (dakwaan Muhyiddin) juga cubaan terdesak mengalihkan perhatian awam daripada pertuduhan jenayah didepaninya,” katanya dalam pernyataan balas dilihat FMT yang difailkan di mahkamah, pada Jumaat lalu.
Pada 27 Mac, Ahli Parlimen Bagan itu memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin terhadap beberapa kenyataan dibuat bekas perdana menteri melibatkan dakwaan pembatalan.
Kenyataan pertama diterbitkan pada 9 Mac, sejurus selepas Muhyiddin dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kenyataan kedua pula dibuat dalam siaran media pada 11 Mac, mendakwa Lim mengenakan cukai terhadap yayasan berkenaan dan penalti 45% kepada cukai berbayar untuk tahun sebelumnya.
Lim turut berkata, Muhyiddin mendakwa dalam wawancara medianya, selepas ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, pada 12 Mac, menyatakan memandangkan LHDN di bawah kawal selia Lim ketika itu, sebarang arahan untuk membatalkan pengecualian cukai yayasan tersebut mesti datang darinya.
Muhyiddin dikenakan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta bagi Bersatu daripada tiga syarikat dan seorang individu.
Beliau juga berdepan tiga dakwaan terlibat pengubahan wang haram RM200 juta, yang didepositkan dalam akaun bank Bersatu.
Dalam pernyataan pembelaan, Muhyiddin menolak memfitnah Lim dan menyatakan dua kenyataan media dan satu wawancara media dibuat perlu dibaca secara keseluruhan dalam konteks.
Dalam pernyataan pembelaan setebal 30 muka surat dibuat pengerusi Perikatan Nasional itu difailkan peguamcara Chetan Jethwani & Co, yang bergantung kepada justifikasi pembelaan, komen adil, dan keistimewaan yang layak untuk mengalahkan saman fitnah Lim.
Pengurusan kes akan dibicarakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, esok, untuk pihak berkenaan mendapatkan arahan sebelum perbicaraan.