
Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya tidak pernah menolak permohonan permit keagamaan atau membelakangi apa-apa berkaitan polisi kerajaan.
“Susulan hantaran menerusi laman sosial Facebook dimuat naik seorang individu yang mendakwa ketua polis daerah SPS dengan sengaja melengah proses kelulusan permit perarakan keagamaan di daerah itu, hari ini saya ingin menafikan polis tidak memberikan kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan itu.
“Terdapat kelulusan permit secara bersyarat, malah permohonan permit pihak tersebut telah diluluskan dengan syarat, bukan tidak lulus langsung,” katanya pada sidang media.
Sebelum ini, Ketua Polis SPS Lee Chong Chern dilapor membuat laporan terhadap pemilik akaun Facebook, David Marshel yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan mendakwa Lee enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit berkenaan.
Sementara itu, Shuhaily berkata, kelulusan bersyarat itu mengambil kira maklum balas masyarakat setempat, keselamatan, dan kegusaran masyarakat, malah tujuan permit bersyarat tersebut adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, kes itu akan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya selepas siasatan dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebagai ketua polis Pulau Pinang sekiranya berlaku apa-apa kekurangan, tindakan tatatertib akan dijalankan,” katanya.