Pilih kerja punca pengangguran Kelantan tinggi

Pilih kerja punca pengangguran Kelantan tinggi

Pengangguran di negeri itu berada pada kadar 4.1% pada Februari berbanding kadar pengangguran negara 3.6%.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan penempatan pekerjaan sebanyak mungkin bagi membantu rakyat negeri itu. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kadar pengangguran di Kelantan tinggi apabila merekodkan 4.1% pada Februari, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Nora Yaacob.

Beliau berkata, berdasarkan data diperoleh Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di negeri itu adalah tinggi berbanding kadar pengangguran negara, 3.6%.

Menurutnya, memilih kerja antara faktor dikenal pasti menyebabkan kadar pengangguran di Kelantan tinggi.

“Masih terdapat rakyat di negeri ini yang memilih kerja, tidak mahu keluar dari Kelantan dan mahu kerja di negeri sendiri.

“Selain itu, kebanyakan rakyat negeri ini bekerja sendiri dan tidak formal. Faktor ini menyebabkan kadar pengangguran tinggi iaitu 4.6% pada Disember tahun lepas, Januari (4.4%), dan Februari (4.1%),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Perkeso Kelantan di Wisma Perkeso.

Nora berkata, bagi mengurangkan kadar pengangguran itu, pihaknya bercadang untuk mendapatkan penempatan pekerjaan sebanyak mungkin bagi membantu rakyat yang mahu bekerja.

“Sasaran penempatan yang ditetapkan tahun ini adalah 6,800. Tahun lepas kita berjaya capai sasaran apabila berjaya menempatkan 5,500 individu bekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.