Perbalahan Amanah-Umno boleh jadi strategi raih undi, kata penganalisis

Perbalahan Amanah-Umno boleh jadi strategi raih undi, kata penganalisis

Perang mulut itu dilihat sebagai satu helah yang mungkin dilakukan oleh kedua-dua parti untuk meraih sokongan pengundi.

Kedua-dua parti, sekutu dalam kerajaan perpaduan, telah berselisih mengenai permohonan Najib Razak untuk pengampunan diraja.
PETALING JAYA:
Perbalahan antara Umno dan Amanah baru-baru ini berhubung permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan diraja boleh menjadi suatu rahmat untuk kerajaan perpaduan menjelang PRN, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan perang mulut antara mereka sebagai strategi atau muslihat untuk meraih sokongan pengundi, dengan menunjukkan setiap parti akan mempertahankan prinsip teras mereka walaupun menjadi sekutu gabungan.

“Ini menunjukkan (pengundi) Amanah sanggup menentang Umno walaupun mereka berada dalam kerajaan perpaduan yang sama,” kata Azmi.

Beliau berkata tentangan Amanah terhadap pengampunan untuk Najib, yang akan membebaskannya daripada penjara, adalah selari dengan pandangan kebanyakan pengundi Pakatan Harapan (PH), khususnya penyokong PH bukan Melayu.

Bagi Umno, mempertahankan permohonan pengampunan bekas presidennya akan menimbulkan keyakinan di kalangan pengundi Melayu bahawa parti itu masih bersedia untuk menentang Amanah, yang merupakan sekutu rapat DAP.

Minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak berhenti mengeluarkan “komen yang tidak sepatutnya” mengenai tindakan parti itu yang menyokong pengampunan Najib.

Gesaan Zahid dibuat sebagai tindak balas kepada Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang menggesa permohonan pengampunan Najib ditolak. Amanah adalah ahli PH yang merupakan rakan kongsi Umno dalam kerajaan campuran.

Isu itu berlarutan dengan penglibatan Umno Kelantan, disusuli tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menuduh Amanah mempersoalkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan itu.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata Umno tidak seharusnya memandang serius kerana Khalid mempunyai reputasi sebagai “seorang yang sukar dijangka”.

Keadaannya berbeza jika kenyataan itu dibuat oleh pemimpin yang lebih berkuasa dalam PKR atau DAP, katanya.

“Umno harus bersikap lebih matang dan tidak menggambarkan Amanah seperti mempunyai kata putus untuk mewakili PH, sedangkan hakikatnya ia berada di belakang PKR dan DAP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.