
Dua lelaki itu merupakan penghutang kepada pemberi pinjaman wang (along) dari Singapura yang dipaksa melakukan jenayah terbabit kerana mereka gagal melangsaikan hutang iaitu RM1,000 hingga RM2,000.
Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mereka termasuk sepasang kekasih yang semuanya berumur 22 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei.
“Kami pada mulanya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar dan disimbah cat dalam kejadian 4.30 pagi, 30 April lepas di Bukit Tengah.
“Polis kemudian turut menerima dua lagi laporan membabitkan kejadian sama iaitu masing-masing di Bukit Minyak, dan Air Itam, melibatkan Perodua Alza dan Myvi juga hari sama antara 4.30 pagi hingga 7 pagi,” katanya pada sidang akhbar.
Shuhaily berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menggunakan kereta Toyota Yaris berwarna merah dan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang berjaya mengesan sepasang kekasih sedang tidur dalam kereta itu di tepi Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada 12.05 tengah malam, 4 Mei.
Katanya, berdasarkan maklumat susulan daripada mereka, polis kemudian menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta pada 6.10 pagi, hari sama.
“Polis seterusnya menahan seorang lagi wanita berusia 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Simee, Ipoh pada 1.15 tengah hari, 6 Mei dan siasatan mendapati dua lelaki ialah penghutang along dari negara jiran yang gagal untuk melangsaikan hutang mereka.
“Mereka yang sebelum ini merupakan peniaga dijanjikan pengurangan hutang tertunggak sekiranya melakukan ugutan dengan menyimbah cat dan bakar kereta milik penghutang lain, malah turut diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go e-Wallet,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati, wanita yang membuat laporan pertama bagi kes itu turut berhutang dengan along dari negara jiran menyebabkan kereta anaknya telah dibakar, malah mangsa juga bekerja di sana dan dua lagi mangsa turut berhutang dengan along yang sama iaitu antara RM1,000 hingga RM2,000.
Menurut Shuhaily, empat suspek yang ditahan itu dipercayai menjalankan kegiatan jenayah itu sejak Mac lalu dan melakukan ugutan dengan membakar serta menyimbah cat pada kenderaan pemilik yang gagal membayar hutang yang tinggal di kawasan utara iaitu Perak, Kedah, dan Pulau Pinang.
“Dua lelaki itu mengaku menerima arahan terus daripada seorang ejen along dari Singapura untuk melakukan perbuatan khianat dengan api ke atas rumah dan kereta peminjam, malah kedua-dua suspek itu juga mempunyai tiga dan enam rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, teman wanita suspek pertama pula berperanan menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps sementara seorang lagi wanita bertindak menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat.
Katanya, lelaki dan pasangan kekasih itu direman selama tujuh hari manakala seorang lagi wanita direman empat hari dengan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.