Pekerja kedai telefon acu pistol dipenjara 8 bulan

Pekerja kedai telefon acu pistol dipenjara 8 bulan

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang mekanik kira-kira 12 tengah malam, 28 April lalu.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap pekerja kedai telefon yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan menakut-nakut serta mengacu pistol kepada seorang mekanik. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Seorang pekerja kedai telefon dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dua pertuduhan iaitu menakut-nakut serta mengacu pistol kepada seorang mekanik dan memiliki pistol tiruan.

Low Zhao Yuan, 29, didakwa menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 25, di tepi jalan, berhadapan bangunan Melaka Mall, Jalan Lebih Ayer Keroh di sini, kira-kira 12 tengah malam pada 28 April lalu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan mengandungi enam butir peluru di tempat dan masa sama.

Pertuduhan bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.