Nur Manuty pengerusi Ikim baharu

Nur Manuty pengerusi Ikim baharu

Pelantikan bekas senator itu berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Ikim baharu, Nur Manuty dilantik menggantikan Mohd Kamal Hassan yang meninggal dunia pada 23 Feb lepas. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bekas senator, Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Ikim, Mohamed Azam Mohamed Adil dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berikutan pengerusinya sebelum ini Mohd Kamal Hassan meninggal dunia pada 23 Feb lepas.

“Sebagai seorang tokoh ilmuan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan, pelantikan beliau sebagai pengerusi akan mampu melonjak kecemerlangan Ikim sebagai sebuah institusi pemikir dan penyelidikan yang disegani di Malaysia dan dunia antarabangsa.

“Mewakili ahli Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Ikim, saya menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu,” katanya.

Nur Manuty, 74, memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974.

Beliau juga adalah mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), bekas timbalan presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), mantan ahli Lembaga Pengarah IKIM dan ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.