
Chow berkata pada Jumaat, pengkritik projek itu membuat dakwaan palsu bahawa ia akan menjadi seperti kawasan perbandaran mewah yang gagal di Johor itu. Menurut Onn Hafiz, kenyataan ketua menteri Pulau Pinang itu “tidak bertanggungjawab, tidak perlu dan tidak wajar”.
“Malangnya, projek (Forest City) berdepan pelbagai cabaran, yang kebanyakannya bersifat luaran dan di luar kawalan pemaju,” kata Onn Hafiz menurut New Straits Times.
“Salah satu cabaran utamanya ialah ekosistem dasar negara yang tidak menguntungkan, dengan dasar ditukar berulang-ulang, terutama pada peringkat kerajaan persekutuan.”
Beliau berkata, Forest City dijangka menjadi ciri sokongan utama bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang ditangguhkan dan kemudian dibatalkan oleh Putrajaya.
Forest City digelar sebagai “bandar hantu” oleh media massa kerana projek itu bergelut untuk mendapatkan warga asing, terutama China untuk membeli hartanah di sana.
Pada 2018, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mencetuskan kekecohan apabila beliau mengumumkan Malaysia tidak membenarkan warga asing membeli unit kediaman dibina di projek perbandaran mewah bernilai USD100 bilion (RM426 bilion) itu.
Bagaimanapun, beliau kemudian menukar fikiran dan berkata, warga asing boleh membeli hartanah di Forest City, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu tidak akan mengeluarkan visa untuk mereka menetap di Malaysia.
Walaupun selepas Mahathir menukar fikiran, dan memberikan syarat demikian, segelintir media melaporkan reputasi Malaysia tercemar di mata pelabur China.
Onn Hafiz berkata, pengumuman pada masa itu tidak membantu prospek kawasan perbandaran berkenaan. Keputusan kerajaan ketika itu untuk turut menangguhkan program Malaysia Rumah Keduaku tambah menjejaskan projek Forest City.
“Perubahan dasar ini dilihat bertujuan menghalang kejayaan projek Forest City, pembangunan inovatif dan berpandangan jauh yang akan membawa manfaat yang besar kepada negara secara keseluruhan,” katanya.