Kes mula Jumaat, Rosmah fail representasi

Kes mula Jumaat, Rosmah fail representasi

Perbicaraan dijadualkan selama 15 hari di hadapan Hakim K Muniandy di Mahkamah Tinggi pada 12 Mei.

Rosmah Mansor berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor memfailkan representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapinya, menjelang perbicaraannya Jumaat ini.

Peguam belanya Geethan Ram Vincent berkata, representasi berkenaan difailkan pada 2 Mei lalu.

“Saya boleh mengesahkan representasi dibuat, tetapi belum mendapat jawapan berhubungnya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Perbicaraan 15 hari dijadualkan bermula di depan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy pada 12 Mei.

Seorang timbalan pendakwa raya yang enggan dinamakan berkata tidak jelas sama ada perbicaraan akan berjalan seperti dijadualkan.

“Kami juga menunggu arahan Pendakwa Raya,” katanya.

Representasi lazimnya dibuat bagi memohon menarik balik atau mengurangkan tuduhan terhadap seseorang tertuduh.

Pada 23 Mac, pendakwaan memaklumkan Muniandy 13 saksi bakal dipanggil memberi keterangan terhadap Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Oktober 2018 sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dia menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.