Hisyam Teh ketuai rayuan Siti Bainun

Hisyam Teh ketuai rayuan Siti Bainun

Siti Bainun Ahd Razali dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan mengabaikan dan mendera seorang remaja dikenali Bella.

Mahkamah Tinggi menetapkan pendengaran ikat jamin pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali pada 18 Mei ini.
KUALA LUMPUR:
Peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai rayuan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitannya oleh Mahkamah Sesyen bagi kes penderaan kanak-kanak.

Pelantikan Hisyam dimaklumkan kepada Hakim Ahmad Bache oleh peguam Aminahtul Mardiah Nor pada pengurusan kes pagi ini.

Hakim menetapkan 18 Mei untuk mendengar permohonan ikat jamin Siti Bainun sementara menunggu rayuan itu diselesaikan.

Ini selepas Aminahtul memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan memfailkan sijil kesegeraan bagi mempercepatkan pendengaran ikat jamin.

Peguam lain mewakili Siti Bainun dalam rayuan itu ialah Farhan Maaruf dan Ahmad Faiz Munawar.

Siti Bainun memfailkan rayuannya selepas Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi mendapatinya bersalah atas kesalahan mengabaikan dan mendera seorang remaja dikenali sebagai Bella. Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.

Mahkamah Sesyen juga menafikan ikat jamin sementara menunggu rayuan dan memerintahkan dia menjalani hukuman serta-merta.

Dalam afidavitnya memohon jaminan, Siti Bainun berkata dia mengalami masalah kesihatan termasuk asma.

Beliau juga berkata rayuannya akan dibatalkan jika mahkamah enggan membenarkannya diikat jamin.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menjawab permohonan itu.

Mahkamah memberi tempoh 10 hari kepada pihak pendakwaan untuk berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.