Bimbang jadi ‘penumpang’, Orang Asli Johor bantah rizab jadi Tanah Kesultanan

Bimbang jadi ‘penumpang’, Orang Asli Johor bantah rizab jadi Tanah Kesultanan

Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor bersedia menghadap Sultan Johor berhubung perkara itu.

Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor, Dolah Tekoi berkata Orang Asli di negeri itu masih selesa dengan sistem lama seperti termaktub bawah Akta 134 dan Kanun Tanah Negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebih 200 penduduk Orang Asli dari seluruh Johor berhimpun membantah cadangan meletakkan tanah rizab Orang Asli di negeri itu di bawah kategori Tanah Kesultanan.

Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor, Dolah Tekoi, berkata mereka bimbang sekiranya cadangan tersebut diteruskan, masyarakat Orang Asli akan dianggap sebagai ‘penumpang’ selain boleh dihalau pada bila-bila masa.

“Bantahan ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya hanya mempertahankan hak kami. Kami masih selesa dengan sistem lama iaitu tanah Orang Asli diletakkan di bawah sistem rizab biasa, iaitu di bawah Akta 134 dan Kanun Tanah Negara.

“Terdapat 18,000 orang masyarakat Orang Asli di Johor terdiri daripada suku kaum Jakun, Temuan, Seletar, Duanu, Orang laut antaranya di Mersing, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Johor Bahru, dan Pontian,” katanya menurut Sinar Harian.

Bantahan aman itu dilakukan di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar dengan kawalan ketat polis.

Memorandum bantahan turut diserahkan kepada Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang diterima oleh Setiausaha Sulit 2, Mohamad Iskandar Omar.

Dolah ketika mengulas lanjut, berkata memorandum bantahan diserahkan itu turut mengandungi cadangan dan kertas konsep pengurusan tanah adat selain tandatangan Orang Asli daripada 40 buah kampung di negeri ini.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa terdapat Orang Asli yang bekerjasama dengan pihak luar untuk mengeksploitasi tanah kami, hukumlah orang. Bukannya menghukum kami semua melalui cara ini.

“Kami akan bawa isu ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua minggu lagi. Isu ini penting perlu tindakan segera kerajaan.

“Sekiranya ada permintaan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk berjumpa, kami sedia untuk bertemu baginda,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan tanah Orang Asli Johor dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bertujuan memastikan tanah tersebut menjadi lebih terbela di bawah enakmen tersedia ada.

Pada 5 Apr, Onn dalam kenyataan, berkata mana-mana kawasan telah diwartakan sebagai ‘Sultanate Land’ bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.