
Mesyuarat itu dipengerusikan Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin lain yang hadir termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno, Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak Fadillah Yusof, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Presiden MIC SA Vigneswaran, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan, dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Mesyuarat dijangka membincangkan persediaan menjelang PRN di enam negeri yang akan dilaksanakan selepas Jun.
Dewan Undangan Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu dijangka akan dibubar pada pertengahan Jun bagi membuka laluan kepada pilihan raya.
Awal hari ini, Zahid berkata, kerajaan perpaduan mempunyai beberapa formula yang lebih sesuai dengan situasi semasa bagi tujuan pembahagian kerusi dan perkara itu akan diselesaikan secara dalaman.
“Kita di peringkat negeri telah mengadakan perbincangan soal pembahagian kerusi biarpun belum dimuktamadkan, kita yakin komposisi pembahagian itu akan mengikut beberapa kesesuaian daripada kerusi yang telah dimenangi BN sendiri dan dimenangi parti-parti dalam PH.
“…kami telah mengambil keputusan perbincangan harus diadakan antara BN dan PH bukan oleh parti-parti yang ada dalam komponen itu, malam ini kami akan mengadakan mesyuarat penyelarasan kerajaan perpaduan iaitu 19 parti akan terlibat membincangkan tentang beberapa isu pilihan raya di enam negeri ini,” katanya menurut Bernama.
Beliau yang juga timbalan perdana menteri, berkata ini kerana asas PRU14 dan PRU13 sahaja tidak boleh digunakan sebagai basis memuktamadkan pembahagian kerusi itu.