
JPA dalam pekeliling terbaru berkata, ketua jabatan perlu mengenal pasti alasan lain untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didakwa itu sepanjang tempoh prosiding jenayah.
Contoh pelanggaran disiplin itu termasuk menerima hadiah tanpa kebenaran pihak atasan, hidup di luar kemampuan, cuai dalam menjalankan tugas, ketidakhadiran dan menyertai aktiviti politik.
Ketua jabatan diberitahu, nasihat undang-undang perlu diperolehi daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengelakkan komplikasi.
Menurut pekeliling itu, sebarang tindakan diambil terhadap penjawat awam berdasarkan kes mahkamah mereka boleh diisytiharkan tidak sah, selaras prinsip tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Difahamkan, sebelum ini, penjawat awam yang dipecat atas kes mahkamah mereka terpaksa diambil bekerja semula, selepas mahkamah memutuskan pegawai itu tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapi mereka, dengan pemecatan itu dianggap menyalahi undang-undang.
Pekeliling itu berkata, ketua jabatan yang mencari sebab untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai perlu mengemukakan laporan dakwaan kesalahan kepada pihak berkuasa tatatertib berkaitan supaya prosiding terhadap pegawai itu boleh dimulakan.