Jangan ambil mudah ‘Proklamasi Melayu’ Dr M, kata penganalisis

Jangan ambil mudah ‘Proklamasi Melayu’ Dr M, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata, strategi berasaskan kaum masih berkesan, manakala James Chin percaya Dr Mahathir Mohamad masih berpengaruh.

Beberapa pemimpin politik, termasuk bekas ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyokong ‘Proklamasi Melayu’ Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad dan “Proklamasi Melayunya” tidak boleh dipandang ringan, kata dua penganalisis, walaupun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai liabiliti politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kerajaan tidak harus mengambil mudah Mahathir.

“Mana-mana strategi berlandaskan perjuangan Melayu, khususnya pada PRN akan datang, akan berkesan,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, PAS dan Umno sebelum ini menggunakan strategi sama dan ia terbukti “amat berkesan”.

Satu daripada cara untuk mengatasi “faktor Mahathir” ialah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno meraih kemenangan besar di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan dalam PRN.

“Kemenangan seperti itu akan menjadi bukti undi Melayu kembali kepada Umno.”

BN dipercayai memperoleh kira-kira 33% undi Melayu pada PRU 2022.

Khamis lalu, Zahid dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan mempunyai “makna” lebih besar berbanding proklamasi yang digerakkan Mahathir, walaupun bekas perdana menteri itu berjaya mendapat sokongan pemimpin PAS dan Bersatu serta ahli politik seperti Annuar Musa dan Zuraida Kamaruddin.

Zahid juga menyifatkan Mahathir sebagai “liabiliti terbaru” dalam politik tanah air.

James Chin dari Universiti Tasmania bersetuju “Proklamasi Melayu” tidak boleh diketepikan dengan mudah kerana Mahathir masih berpengaruh.

“Beliau adalah ikon politik. Beritahu saya, siapa tidak kenal Mahathir?” katanya sambil menambah Mahathir masih berjaya mendapat liputan untuk apa saja yang dikatakannya.

Chin berkata, Mahathir kini cuba menyatukan barisan anti-Anwar untuk menggulingkan perdana menteri yang dipercayainya tidak cukup bagus.

Katanya, Mahathir mempunyai pandangan negatif terhadap Anwar sebagai pemimpin tidak berkebolehan sejak memecatnya daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.