CAP gesa kementerian kaji pelan asal pengangkutan P Pinang

CAP gesa kementerian kaji pelan asal pengangkutan P Pinang

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader mahu Kementerian Pengangkutan melantik pakar bebas mengkaji semula pelan itu.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader mahu model pembangunan PTMP dinilai semula susulan jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecilkan projek PSI.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan melantik pakar lalu lintas yang boleh dipercayai untuk mengkaji, mengubahsuai, dan melaksanakan pelan asal, Halcrow, untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader, berkata ini perlu dengan mengambil kira perkembangan terkini dalam teknologi pengangkutan dan penyelesaian bandar.

Pelan Halcrow berjumlah RM27 bilion diluluskan kerajaan Pulau Pinang, pada Mei 2013.

Bagaimanapun, kumpulan penduduk mendakwa pelan itu sejak beberapa tahun lalu banyak berubah dari rancangan asal untuk memindahkan penduduk dan bukannya kenderaan.

Mereka mendakwa rancangan semasa menjurus lebih kepada pembinaan lebuh raya dan terowong. Ia juga meningkatkan kos keseluruhan hampir RM50 bilion, yang akan dibiayai oleh jualan tiga pulau buatan dikenali Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI).

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata PSI akan disemak semula bagi tujuan mengecilkan skopnya, dan menambah Putrajaya akan mengambil alih sepenuhnya pembinaan projek LRT Pulau Pinang.

Mohideen juga menggesa semua pihak mengadakan satu persidangan bagi menilai semula model pembangunannya secara kritis susulan jaminan perdana menteri mengecilkan projek PSI. Tambahnya, projek tambakan itu pada mulanya untuk mengumpul dana bagi melaksanakan PTMP, termasuk LRT.

“Bagaimanapun, kerajaan persekutuan kini bersetuju untuk menyediakan dana bagi LRT Pulau Pinang. Jadi, kenapa perlu meneruskan penambakan ini?

“Mesej perdana menteri itu menunjukkan projek mega PSI itu cacat dalam perancangan dan reka bentuknya, selain menimbulkan persoalan serius mengenai kecekapan kerajaan negeri merangka program pembangunan lebih berkesan bagi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohideen berkata, LRT yang dicadangkan itu adalah inisiatif pembangunan tidak mampan kerana ada penyelesaian bandar lain yang lebih murah, kurang mengganggu, dan lebih moden.

Sebelum ini, CAP mencadangkan sistem transit rel autonomi yang ketika ini sedang dilaksanakan di Iskandar Johor dan Kuching, dengan hanya melibatkan sebahagian kecil kos berbanding jajaran LRT.

LRT Pulau Pinang dicadang dilapor membabitkan kos RM9.5 bilion.

“Daripada menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas Pulau Pinang, LRT akan merosakkan struktur bandarnya dan mewujudkan masalah baharu yang lebih kompleks bagi rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.