Serahan tanah rizab pada Sabah, Sarawak di peringkat akhir

Serahan tanah rizab pada Sabah, Sarawak di peringkat akhir

Armizan Mohd Ali berkata Pejabat Pengarah Tanah dan Galian akan memuktamadkan garis panduan terlibat.

Menteri di JPM Armizan Mohd Ali berkata, sebelum ini penyerahan tanah rizab kepada Sabah dan Sarawak dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63. (Gambar Bernama)
LABUAN:
Proses penyerahan tanah rizab kerajaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak kepada kedua-dua negeri itu dalam peringkat akhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian akan memuktamadkan garis panduan terlibat.

“Proses memuktamadkan penyerahan tanah rizab Persekutuan (yang dikenal pasti belum dibangunkan sekian lama di Sabah dan Sarawak) kini dalam peringkat akhir.

“Sekiranya kerajaan Sabah dan Sarawak ingin mengambil balik dan dibolehkan dengan garis panduan tertentu,” katanya selepas mendengar taklimat perkembangan penstrukturan Mahkamah Anak Negeri Wilayah Persekutuan Labuan hari ini.

Katanya, tuntutan dan hak-hak terkandung dalam MA63 selama ini banyak dibincangkan dalam pelbagai forum terutama menerusi platform politik.

“Kita bersyukur satu platform khusus secara rasmi, Jawatankuasa Devolution of Authority (JKDA) diwujudkan pada tahun 2016 untuk membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan MA63.

“Kemudian ditambah baik kepada Jawatankuasa Khas Kabinet pada 2018 dan diangkat sebagai Majlis Khas MA63 pada 2020.

“Ia kemudian diperkasakan lagi pada 2022 di bawah kerajaan perpaduan sebagai Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63. Ia membolehkan telah ada rekod perbincangan rasmi boleh dijadikan rujukan untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.