Putrajaya beri dana tambahan untuk LRT P Pinang, kata PM

Putrajaya beri dana tambahan untuk LRT P Pinang, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan terdahulu tidak mengambil berat mengenai isu kesesakan jalan raya di negeri itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu orang ramai ketika menghadiri majlis rumah terbuka di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang di Bukit Mertajam. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan akan memberi dana tambahan untuk projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang dicadangkan.

Bercakap dalam satu majlis rumah terbuka di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang, Anwar berkata Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dirancang untuk membiayai projek LRT juga akan dikurangkan saiznya.

Anwar berkata masalah kesesakan jalan raya di pulau itu menjadi isu yang mendesak dan menyatakan kerajaan persekutuan terdahulu tidak memberi cukup dana untuk menangani masalah ini.

“Bukan kerana saya sendiri orang Pulau Pinang, tetapi projek LRT ini adalah keperluan yang mendesak. Selepas sekian lama dengan dua jambatan, isu trafik masih belum ditangani. Dan kerajaan negeri berulang kali meminta peruntukan.

“Jadi saya mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan menambah dana ke dalam skim besar yang akan membolehkan kerajaan Pulau Pinang melaksanakan LRT dengan segera,” katanya.

Anwar juga berkata bahawa beliau mendengar keluhan penduduk tempatan dan nelayan di pantai selatan Pulau Pinang, di mana penambakan tiga pulau di bawah projek PSI yang kontroversi akan dilakukan.

“Untuk mengurangkan masalah yang timbul daripada penambakan pulau… ia akan dikaji semula agar skopnya dapat dikurangkan,” kata Anwar.

Projek PSI akan merangkumi kawasan seluas 1,821ha di pantai selatan Pulau Pinang antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul.

Jualan tanah dan hartanah yang ditambak akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), di mana jalan raya baru dan sistem pengangkutan akan dibina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.