
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Nurul Hizam Zakaria, berkata Operasi Carilamat hari kelima menumpukan pencarian dalam MT Pablo selepas kapal itu selamat dinaiki.
Katanya, pencarian mangsa dalam MT Pablo dijalankan dengan bantuan sebuah kapal maritim KM Redang dan dua bot ronda Maritim Malaysia yang membawa 31 pegawai dan anggota Maritim Malaysia serta 11 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Pencarian juga dibantu dua kru MT Pablo yang tiba di lokasi kapal tangki pada 1 tengah hari (semalam).
“Pencarian melibatkan bahagian anjungan kapal sehingga bilik jentera, namun tiada mangsa ditemui,” katanya menurut Berita Harian.
Hizam berkata pihaknya gagal menemui sebarang petunjuk berhubung tiga kru itu sebelum menangguhkan operasi pada 7 malam.
“Hasil pemantauan pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia turut melakukan ‘safety past’ bersama Unit Tindakan Khas dan mendapati sudut kecondongan kapal semakin bertambah.
“Kelihatan asap keluar dari corong atas sebelah kanan kapal tangki.
“Berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal tangki, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menangguhkan Operasi Carilamat ini sehingga petunjuk baharu ditemui,” katanya.
Isnin lalu, bahagian tengah kapal tangki MT Pablo terbakar kira-kira 50% di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor.
Seramai 25 daripada 28 kru kapal diselamatkan dengan bantuan dua kapal berhampiran, manakala tiga kru masih hilang.