Treler bawa kereta baharu terbabas, pemandu parah

Treler bawa kereta baharu terbabas, pemandu parah

Pemandu treler tercampak keluar akibat melanggar penghadang jalan dan tiang jejambat, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Seremban.

Tiga kereta baharu rosak teruk susulan treler membawa kenderaan itu terbabas, di KM263 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu parah susulan treler membawa muatan enam kereta terlibat nahas selepas melanggar penghadang jalan selain tiang jejambat, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Seremban, pagi tadi.

Susulan kemalangan berlaku 10.15 pagi itu, tiga kereta diangkut treler berkenaan turut jatuh, sekali gus menghalang lalu lintas di KM263 Lebuhraya Utara-Selatan.

Ketua Polis Seremban Nanda Maarof, berkata pemandu treler parah selepas tercampak keluar.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun sedang bergerak dari arah Tanjung Malim menuju ke arah Johor Bahru.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, treler hilang kawalan lalu melanggar tembok kiri pembahagi lebuh raya seterusnya terbabas ke arah tembok tengah pembahagi lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu treler terbabit dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan sedang menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.