
Bespoke Motoring Sdn Bhd membeli kereta mewah itu pada Ogos 2018 dan menginsuranskannya pada nilai RM1.79 juta dengan AmGeneral Insurance Bhd.
Pada 5 Okt tahun itu, kereta berkenaan terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Lebuhraya MEX, mengakibatkan ia mengalami kerosakan teruk.
Pada masa itu, kereta dipandu oleh Lee Koon Tong, yang dinamakan sebagai pemandu sah.
Lee memberitahu mahkamah, sebuah kenderaan di kirinya tiba-tiba masuk ke lorongnya. Katanya, percubaannya untuk mengelak pelanggaran menyebabkan beliau hilang kawalan dan Ferrari itu “terbabas dan berpusing ke arah lalu lintas yang datang dari depan”.
Sedang Lee memandu beberapa ratus meter lebih jauh dalam usaha mengembalikan haluan kereta itu ke sisi jalan yang betul, sebuah kenderaan lain melanggarnya.
Bespoke Motoring kemudian memaklumkan kepada AmGeneral Insurance tentang kemalangan itu dan memfailkan tuntutan insurans.
Firma insurans itu akhirnya menawarkan penyelesaian sebanyak RM1.5 juta pada 22 Feb 2019, yang diterima oleh syarikat itu.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian, firma insurans itu membatalkan tawaran tersebut, mendakwa Lee mabuk ketika kejadian dan beliau hanya membuat laporan polis beberapa hari selepas kemalangan berlaku.
Lee berkata, beliau hanya boleh membuat laporan kemudian kerana sedang cuti sakit.
AmGeneral Insurance juga mendakwa, Bespoke Motoring “salah menyatakan” sifat kemalangan dalam borang tuntutan, yang menurutnya bersifat penipuan dan merupakan pelanggaran asas kontrak.
Bespoke Motoring kemudian memfailkan saman untuk mengetepikan keputusan firma itu serta mendapatkan semula penyelesaian RM1.5 juta yang mula-mula ditawarkan.
Dalam keputusannya, Hakim Liza Chan berpendapat, AmGeneral Insurance tidak membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa ia berhak menolak polisi tersebut.
“Defendan (AmGeneral Insurance) sudah tahu saksi (Lee) memandu melawan arus dan beliau hanya membuat laporan polis sehari selepas kemalangan itu berlaku,” kata Chan.
“Borang tuntutan diserahkan kepada defendan, di mana Lee mengekalkan versinya mengenai kemalangan itu. Beliau juga mengaku dipanggil polis akibat kemalangan itu dan tidak berada bawah pengaruh alkohol.”
Mahkamah mengambil maklum bahawa penyiasat dalaman AmGeneral Insurance menyiasat kemalangan itu selama kira-kira lima bulan, dan meluluskan tuntutan Bespoke Motoring kerana kenyataan Lee tidak menunjukkan sebarang percanggahan.
“Defendan meluluskan tuntutan dan memberikan tawaran penyelesaian, dengan itu, pada pandangan mahkamah, mengetepikan sebarang dakwaan pelanggaran (kontrak) oleh plaintif (Bespoke Motoring),” kata Chan.
Beliau menegaskan semasa perbicaraan, seorang pegawai penyiasat penipuan AmGeneral Insurance memberikan keterangan bahawa seorang pemandu trak tunda mendakwa Lee kelihatan mabuk di tempat kejadian.
“Saksi (penyiasat) secara terus-terang mengaku tidak dapat memberikan butiran lain mengenai pemandu lori itu. Jelas sekali, apa yang dikatakan pemandu itu ialah ‘keterangan dengar cakap yang jelas tidak dibenarkan (di mahkamah)’,” kata Chan.
Kata Chan lagi, keterangan oleh seorang anggota polis trafik “kuat menyangkal” dakwaan bahawa Lee mabuk.
Beliau berkata, polis tidak pernah menyiasat atau mendakwa Lee di mahkamah atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Keterangan Lee tentang mengapa beliau memandu melawan arus dan bagaimana kemalangan itu berlaku bukan tidak mungkin, dan saya terima keterangannya.
“Saya yakin dengan kesimpulan saya mengenai keterangannya kerana laporan polis dan borang tuntutannya konsisten,” katanya.
Hakim berpendapat, selepas mempertimbangkan keterangan secara keseluruhannya, tidak berlaku “penipuan”, atau “penyembunyian aktif” mahupun “penyembunyian sengaja” fakta yang mewajarkan tuntutan Bespoke Motoring ditolak.