
Menerusi catatan di Facebook, Zuraida berkata perbincangannya dengan Mahathir berkisar mengenai perkara itu.
“Di dalam menuju negara bangsa yang mampan, sudah tentu kepentingan dan hak orang Melayu perlu diutamakan dengan tidak sama sekali mengetepikan hak bangsa lain.
“Kita bergerak sekata demi menyanjungi prinsip demokrasi sebenar,” katanya.
Turut dilihat bersama Zuraida, setiausaha agung Gerakan Tanah Air yang juga bekas timbalan presiden Pejuang Marzuki Yahya dan bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan.
Terdahulu pemimpin tertinggi PAS diketuai Presidennya Abdul Hadi Awang tampil menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam sesi itu.
Hadi turut menolak dakwaan Proklamasi Orang Melayu bersifat perkauman.
Proklamasi Orang Melayu digerakkan bekas ahli Parlimen Langkawi itu secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.
Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.
Mahathir pada 19 Mac lalu menuduh kerajaan Anwar Ibrahim bersikap “diktator” selepas dua kali program itu dibatalkan.
Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan tetapi Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.
Penganjur sebelum ini juga dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik tetapi hanya mahu membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.