Suami isteri mengaku salah aniaya anak 4 tahun

Suami isteri mengaku salah aniaya anak 4 tahun

Pada Sabtu, polis dilaporkan berkata seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan bapa tiri.

S Nagendran dan A Sangeetha masing-masing berusia 23 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini kerana menganiaya anak lelaki berusia empat tahun.
JOHOR BAHRU:
Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka berusia empat tahun hingga menyebabkan kecederaan fizikal, Jumaat lalu.

S Nagendran, 23, bapa tiri mangsa dan A Sangeetha, 23, ibu kandung mangsa didakwa bagi mencapai niat bersama telah menganiaya kanak-kanak tersebut yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru di sini, kira-kira 12.30 tengah malam, 28 Apr lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Idayu Salim dan Umar Faiz Abdul Kohar, manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudian menetapkan 7 Jun depan untuk mendengar fakta kes dan lantikan peguam sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap sebulan sekali di Balai Polis Mutiara Rini di sini.

Sabtu lalu, Ketua Polis Iskandar Puteri Rahmat Ariffin, dilapor berkata seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan bapa tiri.

Ariffin dipetik berkata kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kira-kira 8.20 pagi, Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.