
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujahan mengenai mitigasi daripada peguamnya Farhan Maaruf dan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.
Awal hari ini, mahkamah mendapati Siti Bainun bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak kerana mendera dan mengabaikan remaja Down Sindrom yang dikenali sebagai Bella.
Bagi pertuduhan pertama kerana pengabaian, mahkamah memerintahkan Siti Bainun penjara 10 tahun.
Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi pertuduhan kedua kerana mendera.
Dua hukuman itu diperintah berlangsung serentak.
Mahkamah juga mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap Siti Bainun.
Dia diarahkan menjalani 200 jam khidmat masyarakat, selepas melengkapkan hukuman penjara.
Selain itu, dia juga diperintah diletakkan dalam bon berkelakuan baik selama lima tahun.
Terdahulu, Farhan memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap Siti Bainun.
Katanya, pihak pembelaan berharap mahkamah memberi peluang kedua kepada anak guamnya untuk bertaubat.
“Hukuman penahanan lama akan memberi kesan terhadap kesihatannya.
“Selain itu, kemudahan penjara kita tidak bersesuaian dengan individu yang mempunyai fizikal sepertinya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan. Katanya, Siti Bainun bukan sahaja diamanahkan menjaga Bella, malah perintah mahkamah diperoleh bagi tujuan itu.
“Sebaliknya, dia menyalahgunakan kedudukannya mendera dan mengabaikan kanak-kanak itu,” katanya.
Farhan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi, namun Izralizam berkata, memfailkan rayuan tidak menghalang penangguhan hukuman penjara.