Siti Bainun didapati bersalah

Siti Bainun didapati bersalah

Pengasas Rumah Bonda itu sebelum ini didakwa atas 2 dua tuduhan bawah Akta Kanak-Kanak kerana mengabaikan dan mendera remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Mahkamah Sesyen KL hari ini mendapati pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bersalah mendera dan mengabaikan seorang remaja bawah jagaannya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini mendapati pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bersalah atas tuduhan mendera dan mengabaikan seorang remaja Sindrom Down dua tahun lepas

Bainun didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak kerana mendera dan mengabaikan remaja yang dikenali sebagai Bella itu.

Terdahulu, hakim perbicaraan Izralizam Sanusi memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal mewujudkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata, mahkamah tidak dapat menerima keterangan yang diberikan oleh Siti Bainun dalam pembelaannya.

Merujuk kejadian di pangsapurinya yang mengakibatkan Bella melecur terkena air panas, Bainun memberikan keterangan bahawa dia dimaklumkan remaja itu mengalami kecederaan ekoran pergaduhan dengan dua individu lain, dikenali sebagai Yasmin dan Balqis, sekitar Mei 2021.

Bainun mendakwa, pergaduhan itu berlaku di bilik dobi unit pangsapuri didiami mereka ketika dia tiada di rumah.

Bagaimanapun, hakim berkata, beliau tidak dapat menerima keterangan itu kerana Bainun tidak menyaksikan sendiri kejadian itu.

“Balqis dan seorang lagi penduduk (unit pangsapuri itu), Aida, ditawarkan sebagai saksi bagi pihak pembelaan tetapi mereka tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kejadian itu sepatutnya dimaklumkan segera kepada Imran Mohamed Zanyuin (pegawai kebajikan masyarakat), yang ditugaskan sebagai pelindung Bella.

“Namun perkara ini tidak dilakukan. Imran hanya dimaklumkan sebulan kemudian,” tambah Izralizam.

Mahkamah juga mendapati Bainun memberikan maklumat yang bercanggah kepada Imran mengenai kejadian itu, memberitahunya ia berlaku di dapur.

“Tertuduh berkata, dia membawa Bella mendapatkan rawatan di klinik sebulan selepas kejadian.

“Mahkamah mendapati tindakannya tidak munasabah. Pada pendapat saya, ia dibuat-buat,” kata Izralizam.

Hakim juga mengambil kira keterangan doktor, yang menyatakan bahawa terdapat beberapa parut, kesan melecur dan luka di badan Bella.

“Doktor berkata, kecederaan itu ‘disyaki bukan tidak sengaja dan telah berlaku beberapa kali’,” kata Izralizam.

“Dr Nizam Malik Bali Mohamed (pakar kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur) berkata, kejadian air panas (terkena Bella) tidak boleh menyebabkan sebegitu banyak parut dan luka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.