Saravanan tidak disoal siasat SPRM, kata sumber MIC

Saravanan tidak disoal siasat SPRM, kata sumber MIC

Sumber parti berkata dakwaan yang dibuat di media sosial bahawa bekas menteri sumber manusia itu telah disoal siasat SPRM adalah mengarut.

Baru-baru ini M Saravanan dan bekas pegawai di Kementerian Sumber Manusia didakwa disoal siasat SPRM dua minggu lalu.
PETALING JAYA:
Sumber MIC menafikan dakwaan bahawa Timbalan Presidennya M Saravanan disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam pengambilan pekerja asing di Kementerian Sumber Manusia.

“Tiada siasatan dijalankan. Ia mengarut,” kata sumber itu, sambil menambah beliau juga telah bercakap dengan Saravanan, bekas menteri sumber manusia berhubung dakwaan itu.

FMT telah cuba menghubungi Saravanan dan SPRM bagi mendapatkan penjelasan.

Baru-baru ini tular media sosial dakwaan bahawa Saravanan dan bekas pegawainya di kementerian itu disoal siasat oleh SPRM dua minggu lalu.

Sebelum ini, SPRM telah merekodkan kenyataan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan menahan tiga pembantunya berhubung kes rasuah. Salah seorang daripada mereka telah digantung kerja.

Sebelum ini dilaporkan, berjuta-juta ringgit dipercayai mungkin telah dibayar kepada pegawai kementerian untuk memastikan kontraktor tertentu mengekalkan kontrak mereka bagi pengambilan pekerja asing, yang mereka perolehi di bawah kerajaan terdahulu.

Siasatan kini tertumpu dalam mewujudkan jejak wang selepas seorang ahli perniagaan yang ditahan SPRM didakwa mengaku telah mengambil wang daripada kontraktor untuk pegawai kementerian berkenaan.

Angka sebenar, bagaimanapun tidak diketahui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.